19 June 2008

Permainan Dan Peraturan Dam Haji

Pengenalan
Setiap pemain memiliki jumlah buah dam yang sama (24 pada papan bersaiz 10 x 10 atau 12 pada papan 8 x 8), tetapi berlainan warna. Seorang hitam dan seorang lagi putih (atau merah). Pilihan warna tidaklah begitu penting berbanding catur, kerana warna putih tidak semestinya bermula dahulu.

Giliran
Mengikut persetujuan pemain, mana-mana pihak boleh bermula dahulu. Setelah pemain pertama menggerakkan satu buah, giliran pemain kedua pula. Begitulah seterusnya sehingga permainan tamat.

Cara bergerak
Setiap buah dam cuma boleh bergerak satu petak secara pepenjuru, sama ada ke kiri atau ke kanan, sekiranya petak tersebut masih kosong.
Haji (buah dam yang telah sampai ke hujung papan sebelah lawan) bergerak dengan cara yang sama, tetapi boleh pergi seberapa banyak petak yang dikehendaki.

Papan dan buah dam

Papan
Papan permainan yang digukan sentiasa berbentuk segi empat sama. Papan ini akan dibahagikan kepada (biasanya) 64 atau 100 petak segi empat sama, dengan warna petak yang berselang-seli gelap dan cerah. Polanya sama dengan papan catur, cuma saiz dan warnanya sahaja yang mungkin berbeza.

Buah
Buah dam boleh dibuat dari hampir apa sahaja. Yang penting ia boleh disusun dua sekali untuk menjadi "haji". Di warung kopi misalnya, kadang-kadang tutup botol digunakan sebagai buah, maka satu pihak akan menelangkupkan tutup botol manakala pihak lawan akan menelentangkan tutup botol.
Kedua-dua pemain bermula dengan buah biasa. Sekiranya mana-mana buah pemain berjaya sampai ke hujung papan lawan, ia dikatakan "naik haji". Buah haji ini biasanya dibezakan dari buah biasa dengan meletakkan satu lagi buah di atasnya (disusun dua tingkat). Keistimewaan buah haji ialah ia boleh bergerak ke hadapan atau ke belakang seberapa banyak langkah yang dikehendaki (sekiranya tidak dihalang buah lain).

Cara makan
Buah biasa
Sekiranya di pepenjuru kanan/kiri hadapan suatu buah sendiri ada buah lawan, dan di belakangnya kosong, maka buah lawan tersebut boleh dimakan (ditangkap dan dikeluarkan dari permainan) dengan melompat buah lawan tersebut. Ertinya, buah sendiri diletakkan di petak kosong di belakang buah lawan, kemudian buah lawan dikeluarkan dari permainan.
Sekiranya selepas makan kali pertama, situasi yang sama berulang lagi, maka pemain berhak memakan lagi. Ertinya, seseorang pemain boleh memakan beberapa buah lawan dalam satu giliran.
Perlu diingatkan bahawa buah dam biasa cuma boleh bergerak, dan oleh itu makan, ke hadapan.

Buah haji
Cara makan buah haji sama dengan buah biasa. Bezanya, bauh haji boleh bergerak banyak langkah, dan oleh itu boleh makan buah lawan yang jauh. Buah haji juga boleh makan ke belakang kerana ia boleh bergerak ke belakang.

Peraturan makan
Sekiranya ada peluang memakan buah lawan, pemain diwajibkan melakukannya. Kegagalan untuk memakan buah lawan akan menyebabkan phak lawan berhak mengambil buah pemain yang gagal memakan dan mengeluarkannya dari permainan.
Sekiranya terdapat pilihan untuk memakan buah lawan, pemain boleh memilih untuk memakan mana-mana buah yang dikehendakinya.

Bermula
Kedudukan pemulaan 8x8
Kedudukan permulaan permainan dam adalah seperti di dalam gambar di atas. Petak paling bawah kiri berwarna gelap, manakala petak paling bawah kanan berwarna cerah. Setiap pemain meletakkan (bagi petak 8x8) kesemua 12 buahnya pada 3 baris yang terdekat, pada petak yang berwarna gelap. Ini akan meninggalkan dua baris kosong di tengah papan permainan.
Seperti yang disebut di atas, mana-mana pihak boleh bermula dahulu, bergantung kepada persetujuan pemain.

Tamat
Permainan dam tamat apabila:
Seorang pemain kehilangan semua buah damnya. Dia dikira kalah.
Seorang pemain tidak dapat menggerakkan buahnya kerana disekat. Dia dikira kalah.
Seorang pemain menyerah kalah.
Kedua-dua pemain bersetuju untuk seri, biasanya kerana kedua-dua pemain mepunyai buah haji yang tidak dapat dimakan atau disekat.
Diambil daripada "http://ms.wikibooks.org/wiki/Dam/Bermain"


3 Comment:

  1. Macam main dam

    Kadang kena corner

    Kadang kena makan

    Kadang hantar nyawa

    Semata-mata tak mahu jadi

    BABI

    Biar mati katak

    Daripada hidup menanggung aib

    Lebih mulia katak kering

    Daripada babi guling

    Siap epal sebiji

    Di lubang halkum



    Macam buah dam

    Kadang kena langkah

    Kadang kena tindih

    Kadang naik haji

    Kadang jatuh loji

    Kadang bawa tuah

    Kadang bawa musibah

    Kadang ditahan sayang

    Kadang ditolak tendang

    Buat jerat mengguling lawan

    Jadi umpan

    Atas nama pengorbanan

    Satu persatu

    Dimatikan

    Atas nama kesatuan



    Macam papan dam

    Hidup hanya di petak hitam

    Meluncur laju

    Melompat mati

    Ikut susun strategi



    Macam dam

    Tolak tolak tolak

    Selangkah ke depan

    Ke kiri

    Ke kanan

    Ke lubuk maut

    Ke jerangkap samar

    Ke jalan mati

    Jalan hakiki

    Mati itu pasti

    Demi kemaslahatan yang sebiji-sebiji

    Yang diam mengintai dari belakang

    peluang terdekat

    naik haji



    Macam dam

    Mati itu mesti

    Untuk meraih kemenangan

    Korban itu mesti

    Untuk mencapai keagungan

    Itulah strategi suci

    Mainan si bijak pandai



    STRATEGI DAM-DAM

    STRATEGI YANG DIPENDAM-PENDAM
    ReplyDelete
  2. Itu buah (dam cina) kira main dam haji jugak ke lol
    ReplyDelete

Bagilah komen tapi biar pecah diperut jangan pecah dimulut ?