15 April 2009

Negeri Sembilan Dan Asal Usul

JELEBU
Jelebu dikatakan berasal dari perkataan labu iaiatu sejenis tanaman menjalar. Orang Asli dari Sungai Ujung telah membawa benih labu dan menyemainya di kawasan petempatan baru. Didapati labu tersebut tumbuh dan menjalar dengan suburnya. Mereka bermuafakat menamakan tempat tersebut sebagai jalar labu kemudian berubah kepada jalalabu dan akhirnya jelebu.

KUALA PILAH
Ia merupakan pekan penting di Negeri Sembilan. Ia terletak 25 batu dari Seremban. Kuala Pilah pernah dijadikan ibu negeri Negeri Sembilan sebelum Seremban. Ia mendapat nama daripada nama sungai iaitu Sungai Pilah. Perkataan pilah berasal dari perkataan bilah buluh. Pokok buluh banyak tumbuh di kawasan ini. Buluh dijadikan peralatan kegunaan di rumah ketika itu seperti raga, bakul dan sebagainya. Bagi menjadikan raga, buluh perlu dibelah-belah kecil dan diraut untuk dijadikan bilah. Dari bilah buluh baru boleh dibentuk menjadi raga, bakul dan lain-lain.

TAMPIN
Tampin adalah salah satu sebuah daerah dalam Negeri Sembilan. Dari segi pentadbiran sosiopolitik adat, daerah Tampin terbahagi kepada empat wilayah iaitu Pasir Besar, Ayer Kuning dan Gemencheh ialah luak kecil di bawah naungan Luak Johol. Ketiga-ketiga luak kecil ini diperintah oleh seorang Penghulu Pusaka Luak. Tampin, sebagai sebuah kerajaan, kerana tidak dinaungi oleh mana-mana luak adat asal, dipanggil luak dan diperintah oleh Tunku Besar Tampin. Oleh sebab luak Tampin ini luak baru, sebagai kawasan pemerintahan adat , Tampin dikatakan sebagai wilayah Tunku Besar Tampin.

Luak Tampin sebelum 1834 berada di bawah kekuasaan Rembau dan segala pentadbiran berpusat di Rembau. Kewujudan Luak Tampin adalah akibat dua peristiwa utama iaitu Perang Naning dan perebutan dinasti yang melibatkan Rembau dan Seri Menanti.

Perang Naning, antara British dengan Dato’ Naning berlaku dalam tahun 1832 menghasilkan dua perkara. Pertama kekalahan Dato’ Naning mengakibatkan kerajaan Naning kehilangan wilayah bahagian timurnya, iaitu Tebong. Kedua, kedudukan Raja Ali, Yamtuan Muda Rembau dan menantunya, Syed Shaaban menjadi lebih kukuh, sementara di Seri Menanti, Yamtuan Sati atau Raja Labu telah dipecat oleh Dato’ Kelana Sungai Ujong. Raja Ali mengisytiharkan dirinya sebagai Yamtuan Besar dan melantik Syed Shaaban sebagai Yamtuan Muda Rembau. Kedua-dua personaliti ini pada hakikatnya tidak berhak atas kedua-dua jawatan ini dan dengan pengisytiharan itu telah menyinggung semua pembesar Negeri Sembilan.

Raja Ali dan Syed Syaaban lebih lanjut lagi telah bertindak membuat perjanjian perdamaian dan persahabatan dengan British dalam tahun 1832 dan 1833. Dalam perjanjian yang pertama mereka menandatanganinya sebagai pembesar kerajaan Rembau, tetapi dalam perjanjian tahun 1833 mereka telah menaiktarafkan lagi kedudukan mereka. Syed Shaaban berikutnya melibatkan diri dalam perang dinasti dengan Dato’ Nganit, Undang Rembau, yang disokong oleh Dato’ Kelana Sungai Ujong. Di samping itu, Dato Kelana telah pula meletakkan calon baru untuk jawatan Yamtuan, iaitu Raja Radin, putera Raja Lenggang Laut, Yamtuan Seri Menanti ketiga. Dalam perang saudara berikutnya, Raja Ali dan Syed Shaaban gagal mempertahankan kedudukan mereka sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti dan Yamtuan Muda Rembau, tetapi berjaya menguatkan kedudukan mereka di Tampin.

Akibatnya, sebahagian daripada wilayah Rembau baruh, iaitu dari Gunung Tampin hingga ke Bukit Putus terkeluar dari kekuasaan kerajaan Rembau. Justeru,dalam tahun 1834 wujud Luak Tampin Tengah, Keru, Repah dan Tebong (sebelum Perang Naning tahun 1832 adalah sebahagian daripada Naning).

PORT DICKSON
Ia terletak 32 kilometer dari Bandar Seremban. Terkenal dengan pantainya yang bersih dan menarik menyebabkan ia menjadi salah sebuah tempat peranginan yang diminati oleh rakyat Malaysia dan juga pelancong asing. Nama asalnya ialah Tanjung telah didiami oleh orang Melayu sejak tahun 1800. Di luar pantai Tanjung terdapat Pulau Arang di mana ramai orang Sumatera tinggal di sana dengan pekerjaan membuat kayu arang. Pada tahun 1889 Setiausaha Jajahan British, Sir John Frederick Dickson telah mengarahkan supaya Pulau Arang dan Tanjung dimajukan. Pada tahun 1891 landasan kereta api menghubungkan Tanjung dengan Sungai Ujong dibina. Beliau telah merasmikan pembukaan landasan kereta api tersebut pada tahun 1894. Nama Tanjung telah ditukar kepada Port Dickson sebagai mengambil sempena nama Setiausaha Jajahan British tersebut.

SEREMBAN
Nama Seremban dipercayai berasal dari perkataan bemban yang banyak tumbuh di kawasan tersebut. Selain itu dikatakan juga berasal dari perkataan main seremban iaitu sejenis permainan tradisi semasa dahulu yang dimainkan oleh kanak-kanak.

SRI MENANTI
Mengikut catatan Martin Lister dalam Negri Sembilan – Origin and Constitution menyatakan terdapat empat (4) orang penduduk tempatan membuka kawasan ini bersama keluarga masing-masing. Mereka ialah Paduka Besar, Engku Bongsu, Senara Muda dan Sri Maharaja. Sepanjang perjalanan menelusuri hulu sungai Muar, mereka sampai ke lembah yang indah dan menemui padi masak kuning keemasan di sana. Mereka mengambil keputusan untuk menetap di situ dan menamakan tempat tersebut sebagai Sri Menanti. Sri ialah perkataan Minangkabau yang membawa makna padi masak sementara menanti bermaksud menunggu. Oleh itu Sri Menanti bermaksud tempat berehat yang cantik.

GEMAS
Gemas merupakan satu pusat jalan keretapi yang terbesar di Malaya yang menghubungkan rangkaian jalan keretapi utara, selatan dan pantai timur. Ianya terletak di kawasan bukit. Nama Gemas dipercayai berasal dari perkataan gua dan mas (emas).

KUALA KELAWANG
Asal nama tempat ini tidak jelas. Ia dinamakan berasaskan nama Sungai Klawang. Nama sungai ini dipercayai berasal daripada nama binatang iaitu keluang. Penduduk tempatan ketika itu suka memakan daging keluang. Mereka memburu keluang di kawasan kuala sungai. Lama kelamaan tempat tersebut dinamakan Kuala Kelawang.

LUKUT
Lukut terletak di Mukim Port Dickson, Negeri Sembilan. Ia meliputi Kuala Lukut, Lukut, Lukut Kechil dan Ulu Sungai Lukut Kechil. Lukut mula menjadi pusat perlombongan yang terkenal pada akhit tahun 1820-an ketika di bawah pentadbiran Sultan Muhammad yang memerintah Selangor dari tahun 1826 hingga 1858. Baginda melantik kerabatnya, Raja Busu untuk mentadbir Lukut. Lukut dipercayai berasal dari perkataan melukut yang bermaksud butir-butir kecil. Bagi orang-orang laut, butir-butir kecil ini ialah bijih timah yang terdapat di kawasan tersebut yang menjadi punca rezeki mereka. Pekerja yang memungut bijih memanggil tempat tersebut sebagai melukut dan lama kelamaan ianya berubah menjadi lukut.

RANTAU
Rantau dipercayai berasal daripada nama seorang Melayu yang mula-mula mendiami kawasan tersebut. . Kawasan ini kemudian menjadi petempatan orang Melayu. Beliau dipercayai dari suku Biduanda Rantau kemudian dilantik menjadi pawang dikenali sebagai Pawang Sati. Setelah beliau meninggal dunia, komuniti kawasan tersebut menjadikan perkuburan beliau sebagai tempat pemujaan dan pemberian sajian supaya tanaman mereka berhasil.
Share
About The Author
KELAB SUKAN DAN REKREASI KOKUYO (KSdR) Tidak akan bertanggugjawab terhadap sebarang kerugian dan masalah yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman blog (Blogger) ini. Paparan terbaik pada 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox. Pertanyaan dan maklumat lanjut e-mailkan kepada KSdR : enquiries@ksdr.org.my : Hak Cipta Terpelihara © 2008 KELAB SUKAN DAN REKREASI KOKUYO
Share This
Subscribe Here

1 Comment:

Anonymous said...

f

Post a Comment

Bagilah komen tapi biar pecah diperut jangan pecah dimulut ?

Related Posts with Thumbnails
 

Kelab Sukan dan Rekreasi Kokuyo Copyright © 2009 DarkfolioZ is Designed by Bie Blogger Template for Ipietoon
In Collaboration With fifa