24 May 2009

PELANCARAN MINGGU PERPADUAN KEBANGSAAN YANG PERTAMA

Sempena Sambutan Minggu Perpaduan 24 Mei 2009

Pada hari ini dalam tahun 1964, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melancarkan Minggu Perpaduan Kebangsaan.

Ini adalah kali pertama minggu seumpamanya pernah diadakan. Upacara pelancaran tersebut berlangsung di Stadium Merdeka dan disertai oleh kira-kira 40 ribu rakyat jelata. Tujuan utama minggu itu dilancarkan ialah untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat di negara ini. Semangat bersatu dan cintakan negara sangat-sangat diperlukan pada masa itu kerana Malaysia yang baru setahun lebih ditubuhkan sedang menghadapi ancaman dari pihak jiran yang menentang penubuhannya.

Masyarakat majmuk di negara ini dengan tiga kaum terbesar ditambah pula dengan suku kaum yang ada di Sabah dan Sarawak perlukan persefahaman untuk mengatur satu barisan pertahanan yang kuat bagi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Seri Paduka Baginda dalam titahnya menekankan peranan perpaduan ini sebagai asas dalam membentuk satu bangsa khususnya di saat-saat negara dalam keadaan bahaya.

Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra, pula berkata minggu perpaduan yang diadakan itu membuktikan ketabahan hati rakyat yang sedia berkhidmat dan berkorban serta tidak sekali-kali mengaku kalah kepada sebarang ugutan dan ancaman. Perhimpunan tersebut juga telah mendengar ikrar yang dilafazkan oleh rakyat jelata yang akan berdiri di belakang kerajaan untuk mempertahankan negara.

Ini diikuti dengan nyanyian lagu 'Berjaya' yang dicipta khas sempena minggu tersebut. Pelancaran Minggu Perpaduan yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1964, seterusnya turut diadakan di peringkat negeri di seluruh negara. Sepanjang minggu itu dipenuhi dengan acara-acara kebudayaan, pameran di samping kutipan derma bagi Tabung Pertahanan Negara.

0 Comment:

Post a Comment

Bagilah komen tapi biar pecah diperut jangan pecah dimulut ?