10 November 2009

Sepak Bulu Ayam

Sempena Aktiviti KSdR bagi bulan November

Permainan ini dikenali juga sebagai sepak bulu ayam, sebuyam atau chapteh. Dimainkan di luar rumah oleh kanak-kanak lelaki seramai dua atau lebih.

Permainan sepak bulu ayam terkenal sejak dahulu kala. Dapat dibanggakan, permainan ini sampai kini masih menjadi pilihan untuk beriadah dan mengisi waktu lapang.

Biasanya kanak-kanak lelakilah yang suka benar dengan permainan ini. Lebih menarik kerana permainan ini sesuai dimainkan bila-bila masa sahaja. Biasanya waktu petanglah yang sesuai untuk bermain.

Dari segi pemilihan tempat pula, seelok-eloknya biarlah kawasan lapang agar pergerakan pemain tidak terbatas. Jika terdapat ramai yang bermain, kumpulan dengan terdiri beberapa orang boleh dibentuk.

Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga, tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti sejambak bunga. Permainan ini juga lebih menekankan kemahiran menimbang bulu ayam dengan kaki. Memandangkan permainan ini merupakan perlumbaan mengutip mata, pemain akan menimbang bulu ayam sekerap yang mungkin tanpa menjatuhkannya ke tanah. Semakin tinggi jumlah timbangan, semakin terserlahlah kemahiran si pemain. Jadi, si pemain mesti pantas pergerakkan kakinya. Barangkali atas faktor inilah maka kaum perempuan tidak menggemari permainan ini.

Membuat Bola
Berkenaan bulu ayam yang digunakan, bentuknya sekali imbas hampir menyerupai bulu tangkis yang ada sekarang ini. Penyediaannya tidak terlalu rumit atau memakan masa yang panjang. Tidak juga membebankan dari segi modal. Malah boleh dikatakan sesiapa juga yang ingin bermain mampu membuatnya sendiri.

Ada yang perlu ada 3, 4 atau 5 helai bulu ayam yang keras dan sederhana besarnya diikat pada sekeping getah tebal. Boleh juga gunakan getah tiub tayar. Getah itu terlebih dahulu dipotong bulat dengan ukuran garis pusatnya kira-kira 4 cm.

Getah itu digamkan berlapis-lapis supaya tebal. Kemudian sebatang paku pendek di cucuk di tengah-tengahnya. Paku itu berfungsi sebagai pemberat dan sebagai tempat untuk mengikat pangkal bulu-bulu ayam. Maka siaplah bulu ayam untuk dimainkan.

Cara Bermain
Sebelum permainan dimulakan undian perlu dijalankan terlebih dahulu bagi menentukan giliran. Undian secara 'lat-tali-lat-laili-tam-plong' untuk semua pemain bagi menentukan siapa yang perlu memulakan terlebih dahulu mengikut gilirannya. Penentuan mata samada jumlah timbangan terbanyak atau penetapan jumlah mata tertentu juga harus dipersetujui terlebih dahulu.

Pemain disyaratkan menimbang bola bulu ayam tersebut dengan menggunakan tepi tumit kaki (tepi kaki sebelah dalam) sahaja atau juga dengan lutut. Sepakan tidak dibenarkan, jika dilakukan oleh pemain, ia dikira mati dan giliran pemain seterusnya mengambil alih pula. Permainan juga dikira mati sekiranya bola jatuh ke tanah.

Mata dikira dengan cara, pemain mestilah menimbang bola tanpa henti atau mati dengan seberapa banyak timbangan yang dapat dilakukan. Pemain yang mendapat mata terendah jumlah timbangan dikira kalah, dan ia akan dikenakan denda. Pemain yang kalah dikehendaki melambungkan bola kepada pemenang, dan pemenang pula mestilah menimbang bola sebanyak tiga kali, sekiranya pemenang gagal berbuat demikian maka denda terhadap pemain yang kalah akan dikira tamat.

Pusingan seterusnya boleh dilakukan beberapa kali, pemain yang memenangi di setiap pusingan atau jumlah kemenangan banyak kali dan melebihi dari yang lainnya dikira juara.


0 Comment:

Post a Comment

Bagilah komen tapi biar pecah diperut jangan pecah dimulut ?