27 May 2009

Kuih Tradisional - AKOK

Kuih akok merupakan salah satu kuih tradisional yang sangat terkenal di negeri Pantai Timur khususnya di Kelantan dan Terengganu. Kuih ini juga amat popular ketika bulan Ramadhan.

Rasanya yang lemak manis amat digemari oleh semua peringkat usia. Bahan utama dalam menghasilkan kuih ini adalah telur itik, gula melaka, tepung gandum dan santan.

Cara untuk menghasilkannya juga agak menarik dimana ianya akan dibakar menggunakan api atas dan bawah sebagaimana proses membuat kuih bahulu. Bezanya Cuma dari segi penggunaan acuannya sahaja dimana, untuk menghasilkan kuih akok seseorang itu perlu menggunakan acuan kuih itu sendiri.




Bahan-bahan (untuk 36 biji )
  1. 5 biji telur
  2. 200 ml pati santan
  3. 100 ml air
  4. 150 gram gula melaka (untuk kuih berwarna merah) atau gula pasir (untuk kuih berwarna kuning mengikut citarasa, boleh kurangkan sukatan mengikut selera.
  5. 30 gram tepung gandum
  6. 3 helai daun pandan- disiat-siat
  7. 2 cubit garam halus
Cara-cara (dengan oven)
  1. Masak air bersama gula melaka hingga mendidih. Tutupkan api.
  2. Masukkan santan. Tunggu suam sedikit, kemudian masukkan telur,tepung dan daun pandan, gaul rata.Tapiskan untuk menghilangkan ketulan tepung.
  3. Panaskan oven pada suhu 200 darjah celcius. Panaskan acuan baulu/akok ke dalamnya. Masukkan sedikit minyak dalam setiap acuan.
  4. Isi penuh acuan dan bakar selama 10 minit. Kuih ini akan mengembang. Bila dikeluarkan dari oven ia akan sedikit mengecut.
Video dan info daripada blog abumikail

25 May 2009

Gambar Bowling Vs Mizuho 2009

Bowling Vs Mizuho 09

24 May 2009

PELANCARAN MINGGU PERPADUAN KEBANGSAAN YANG PERTAMA

Sempena Sambutan Minggu Perpaduan 24 Mei 2009

Pada hari ini dalam tahun 1964, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melancarkan Minggu Perpaduan Kebangsaan.

Ini adalah kali pertama minggu seumpamanya pernah diadakan. Upacara pelancaran tersebut berlangsung di Stadium Merdeka dan disertai oleh kira-kira 40 ribu rakyat jelata. Tujuan utama minggu itu dilancarkan ialah untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat di negara ini. Semangat bersatu dan cintakan negara sangat-sangat diperlukan pada masa itu kerana Malaysia yang baru setahun lebih ditubuhkan sedang menghadapi ancaman dari pihak jiran yang menentang penubuhannya.

Masyarakat majmuk di negara ini dengan tiga kaum terbesar ditambah pula dengan suku kaum yang ada di Sabah dan Sarawak perlukan persefahaman untuk mengatur satu barisan pertahanan yang kuat bagi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Seri Paduka Baginda dalam titahnya menekankan peranan perpaduan ini sebagai asas dalam membentuk satu bangsa khususnya di saat-saat negara dalam keadaan bahaya.

Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra, pula berkata minggu perpaduan yang diadakan itu membuktikan ketabahan hati rakyat yang sedia berkhidmat dan berkorban serta tidak sekali-kali mengaku kalah kepada sebarang ugutan dan ancaman. Perhimpunan tersebut juga telah mendengar ikrar yang dilafazkan oleh rakyat jelata yang akan berdiri di belakang kerajaan untuk mempertahankan negara.

Ini diikuti dengan nyanyian lagu 'Berjaya' yang dicipta khas sempena minggu tersebut. Pelancaran Minggu Perpaduan yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1964, seterusnya turut diadakan di peringkat negeri di seluruh negara. Sepanjang minggu itu dipenuhi dengan acara-acara kebudayaan, pameran di samping kutipan derma bagi Tabung Pertahanan Negara.

20 May 2009

Bowling Terms


Dalam sukan bowling kita selalu mendengar beberapa istilah-istilah yang disebut oleh pemain, terutama senior-senior yang telah berpengalaman luas. Berikut adalah istilah yang sering diguna pakai.

Part 1 (1-10)
  • FRAME – Satu giliran pemain membuat balingan. Dalam satu giliran pemain akan melakukan satu (jika strike) atau dua (jika spare atau miss) balingan bergantung kepada jatuhan pin.
  • LINE – Laluan dimana bola boling bergolek ke hujung lane menuju ke pin. Boleh juga digunakan untuk merujuk satu game permainan boling.
  • STRIKE – Semua sepuluh pin jatuh dengan sekali balingan. Ini adalah matlamat pemain boling untuk setiap frame hingga frame ke sepuluh setiap game.
  • DOUBLE – Dua strike berturut-turut dalam satu-satu game.
  • TURKEY – Tiga strike berturut-turut dalam satu-satu game.
  • HAMBONE/SOMBRERO – Empat strike berturut-turut dalam satu-satu game.
  • (No.) BAGGER – Rantaian strike yang banyak. Empat strike juga dikenali sebagai four bagger dan seterusnya.
  • STRIKE-OUT – Melakukan tiga strike dalam frame sepuluh untuk jatuhan pin yang semaksima termampu. Strike out juga boleh digunakan jika seseorang melakukan strike berterusan dari frame sebelum frame sepuluh sehingga strike yang ke tiga dalam frame sepuluh. Ada juga istilah strike home!.
  • SHUT-OUT – Situasi dimana pemain lawan tidak dapat memintas jatuhan pin walaupun pemain tersebut melakukan jatuhan pin maksimum.
  • (Go) OFF THE SHEET – Menghabiskan permainan dengan jatuhan maksima.
Part 2 (11-15)
  • SPARE – Semua pin dapat dijatuhkan selepas dua balingan dalam satu frame.
  • CONVERSION – Juga merujuk kepada spare, tetapi bergantung kepada pin nombor berapa yang tinggal sebelum spare dilakukan. Biasanya digunakan untuk spare yang diambil dari keadaan split.
  • MARK – Untuk spare atau strike.
  • OPEN FRAME – Frame yang tidak strike dan spare tidak dapat di convert.
  • SPLIT – Merujuk kepada kedudukan pin yang masih berdiri selepas balingan pertama. Biasanya head pin (pin 1) telah jatuh dan meninggalkan pin berdiri dalam kedudukan jauh (tidak berturutan) antara satu dengan lain (cth. Pin 7 dan pin 10) dalam baris yang sama. Ada juga jargon seperti ‘baby split’ (pin 2 dan 7 atau pin 3 dan 10), ‘big four’ (pin 4,7 dan 6,10), ‘greek church’ (pin 4,6,7,8 dan 10) dan ‘fit-in split’ (biasanya pin 4,5 atau 5,6).
Part 3 (16-25)
  • SLEEPER – Nama panggilan bagi pin yang berdiri betul-betul dibelakang pin lain yang tertinggal selepas balingan pertama. Contohnya pin 8 dibelakang pin 2, pin 5 dibelakang pin 1 atau pin 9 dibelakang pin 3. Selalu juga ia dirujuk sebagai ‘mother-in-law’(mak mertua), ‘phantom pin’ atau ‘double wood’.
  • BIG FOUR – Satu split yang meninggalkan pin 4-6-7-10. Dikenali juga sebagai ‘Grandma’s Teeth’.
  • LILY – Split yang jarang berlaku tetapi ada berlaku. Ia meninggalkan pin 5-7-10.
  • BEDPOSTS – Split 7-10, satu split yang dikira paling susah untuk di convert.
  • POCKET – Tempat yang paling ideal untuk bola menghentam pin untuk mendapatkan strike. Poket bagi pemain yang menggunakan tangan kanan adalah diantara pin 1 dan 3, manakala bagi pemain tangan kiri adalah sebaliknya iaitu pin1 dan 2.
  • BROOKLYN – Balingan dikatakan brooklyn apabila bola mengena pada poket yang bertentangan dengan yang sepatutnya. Misalnya pemain kidal bolanya mengena pada poket 1-3. Istilah ini biasa kita dengar bila balingan yang begitu menghasilkan strike. Ada juga orang merujuk brooklyn sebagai ‘jersey’.
  • CARRY – Situasi dimana satu balingan yang bagus walaupun tidak tepat (solid) ke poket yang menghasilkan strike.
  • LIGHT SHOT – Balingan yang mengena poket tetapi lebih dekat kepada pin 3 (2 bagi pemain kidal) berbanding pin 1(headpin). Disebut juga sebagai ‘low pocket’.
  • HEAVY SHOT – Balingan yang mengena head pin lebih daripada pin 3 (2 bagi pemain kidal). Dikenali juga sebagai ‘high pocket’. 25. WASHOUT – Balingan pertama yang meninggalkan head pin dan sekurang-kurangnya dua pin yang bukan berturutan. (cth. Pin 1,2,4 dan 6,10).
Part 4 (26-34 )
  • CHOP – Open frame setelah dua atau lebih pin yang berturutan tidak dapat dijatuhkan kerana bola hanya mengena satu atau dua pin tetapi meninggalkan satu atau dua pin masih berdiri yang membawa kepada open frame.
  • MESSENGER – Pin yang melantun dari dinding yang lain ke sebelah lagi dan menghentam pin yang bertentangan untuk menghasil strike yang tidak disangka.
  • TAP – Satu keadaan dimana balingan yang tepat ke poket tetapi tidak menghasilkan strike. Biasanya tertinggal pin 8 atau 10 bagi pemain kanan. Bagi pemain kidal pin 7 atau 9. 29.
  • FOUL – Berlaku apabila kaki atau mana-mana bahagian badan pemain menyentuh garisan permulaan lane (foul line) dihujung approach dan buzzer akan diaktifkan. Bila ini berlaku, skor akan dikira sebagai kosong tidak kira berapa banyak pin yang dijatuhkan. Walau bagaimanapun, foul tidak berlaku jika bola tidak dilepaskan semasa buzzer diaktifkan.
  • SIRIES – Jumlah jatuhan pin untuk satu set permainan. Misalnya dalam permainan liga, tiga game adalah satu set. Jatuhan pin untuk tiga game tersebut dikira sebagai siries.
  • FRONT SIX – Melakukan strike berturutan untuk enam frame yang pertama.
  • RINGING TEN – Keadaan dimana pemain sepatutnya mendapat strike tetapi pin 6 yang sepatutnya menghentam pin 10 hanya melantun melintasi disebelahnya tanpa bersentuhan membuatkan pin 10 masih berdiri. Keadaan sebaliknya bagi pemain kidal dimana pin 4 gagal menyentuh pin 7.
  • FLAT TEN – Keadaan hampir menyamai apa yang berlaku pada ringing ten, tetapi pin 6 tidak melantun, sebaliknya hanya tergolek dan tersadai di dalam gutter.
  • GUTTER – Lorong seperti longkang ditepi lane. Gutter berfungsi mengutip bola yang tersasar dari atas lane.
Part 5 (35-44)
  • HOOK – Melakukan balingan dengan side-spin yang berpatutan supaya bola akan bergerak secara melencong(curve) ke arah poket dari sudut sisi.
  • CRANKER – Pemain boling ini melakukan balingan side-spin yang lebih deras dengan putaran bola yang lebih laju bertujuan untuk melakukan ‘hook’ yang lebih besar dan kuat.
  • STROKER – Cara permainan yang lebih lembut, perlahan dan tidak melakukan hook yang besar.
  • POWER STROKER – Permainan cara ini adalah lembut dan perlahan tetapi melakukan hook yang besar dengan cara melebihkan putaran pada bola. Boleh dikatakan cara permainan ini adalah berada pada pertengahan antara cranker dan stroker.
  • BACK-UP BALL – Bola yang dilepaskan oleh seseorang pemain tangan kanan tetapi hook ke kanan. Sepatutnya hook bagi pemain tangan kanan adalah ke kiri. Untuk pemain kidal, keadaan adalah sebaliknya.
  • OIL – Minyak yang disapu ke atas dua pertiga daripada permukaan lane bagi membolehkan bola yang dilepaskan dalam keadaan side-spin meluncur sehingga pada satu jarak, sebelum bola mula terkena pada bahagian yang kesat dan mula hook.
  • BACK END – Back-end adalah kawasan 15-20 kaki dihujung lane dimana bola sepatutnya mula hook ke poket. Kawasan ini tidak di oil bagi membolehkan bola mencengkam lane dan ‘hook’.
  • CARRY-DOWN – Ini merujuk kepada keadaan oil yang berpindah ke bahagian hujung lane. Ini terjadi kerana banyak bola yang melalui kawasan tersebut. Keadaan ini juga menjadikan kawasan tersebut menjadi licin dan bola tidak hook seperti yang sepatutnya.
  • TRACK – Merujuk kepada jalur bekas minyak yang melekat atas bola selepas balingan dibuat. Track menandakan bahagian mana bola yang terkena lane dan bagaimana perjalanan bola di atas lane.
  • TRACK FLARE – Perubahan track minyak dari bahagian kering dan berminyak di permukaan bola. Track flare berlaku apabila track berubah dari axis asal apabila pemain melakukan balingan. Ini bergantung kepada cara bola dilepaskan. Bila perubahan berlaku, bola akan mencekam lebih kepada lane apabila bahagian yang kering terkena lane. Ini akan menjana lebih kuasa pada hook.
LINK .PDF

17 May 2009

Lagu Negeri

National Anthem of Malaysia



NEGERI JOHOR

Allah Peliharakan Sultan
‘Nugrahkan Dia Segala Kehormatan
Sihat Dan Ria
Kekal Dan Makmur
Luaskan Kuasa
Menaungkan Kami
Rakyat Dipimpini Berzaman Lagi
Dengan Merdeka Bersatu Hati
Allah Berkati Johor
Allah Selamatkan Sultan!



NEGERI KEDAH

Allah Selamat Sultan Mahkota
Berpanjangan Usia Di Atas Takhta
Memelihara Agama Nabi Kita
Negeri Kedah Serata-rata



SELAMAT SULTAN

Lanjutkan Usia Al-Sultan Kami
Sultan Kelantan Raja Ikrami
Aman Sentosa Tuhan Sirami
Kekal Memerintah Kami
Kasih Dan Taat Setia Disembahkan
Keriangan Diucapkan
Segala Kebesaran Allah Cucurkan
Bertambah Kemuliaan



MELAKA MAJU JAYA

Melaka Negeri Bersejarah
Tempat Tumpah Darah Kita
Dijunjung Dengan Sepenuh Jiwa
Untuk Maju Dan Jaya
Rakyat Melaka Sudah Bersatu Padu
Berikrar Taat Setia
Jujur Berkhidmat Setiap Masa
Melaka Maju Jaya



UNTUK NEGERI KITA

Selamat Tuhan Kurniakan
Selamat Pulau Pinang
Negeriku Yang Mulia
Ku Taat Dan Setia
Aman Dan Bahagia
Majulah Jayalah
Negeriku Yang Ku Cinta
Bersatu Dan Bersama
Untuk Negeri Kita



NEGERI SEMBILAN

Berkatlah Yang Di-Pertuan Besar
Di Negeri Sembilan
Kurniai Sihat Dan Makmur
Kasihi Rakyat Lanjutkan Umur
Akan Berkati Sekalian Yang Setia
Musuhnya Habis Binasa
Berkatlah Yang Di-Pertuan Besar
Di Negeri Sembilan



NEGERI PERAK

Dilanjutkan Allah Usianya Sultan
Adil Dan Murah Memerintah Watan
Ditaati Rakyat Kiri Dan Kanan
Iman Yang Saleh Allah Kurniakan
Allah Berkati Perak Ridzuan
Allah Selamatkan Negeri Dan Sultan



SELAMAT SULTAN

Allah Daulatkan Tuanku Sultan
Terengganu Darul Iman
Allah Peliharakan Tuanku Sultan
Sejahtera Sepanjang Zaman
Allah Rahmatkan Tuanku Sultan
Memerintah Rakyat Aman



IBU PERTIWI KU

Sarawak Tanah Air Ku
Negeri Ku Tanah Air Ku Sarawak
Engkaulah Tanah Pusaka Ku
Tanah Tumpah Darah Ku
Ibu Pertiwi Ku
Rakyat Hidup Mesra Dan Bahagia
Damai Muhibbah Sentiasa
Bersatu Berusaha Berbakti
Untuk Sarawak Ku Cintai
Sarawak Dalam Malaysia
Aman Makmur Rahmat Tuhan Maha Esa
Kekallah Sarawak Bertuah
Teras Perjuangan Rakyat
Berjaya Berdaulat



SABAH TANAH AIR KU

Sabah Tanah Air Ku
Negeri Kita Yang Tercinta
Pemuda Pemudi Semua Marilah
Bangunlah Bersatu Semua
Marilah Bersama Serta Maju Jaya
Merdeka Sepanjang Masa
Bersatu Segala Bangsa Sentosa
Sabah Negeri Merdeka



Amin-amin

Amin amin Ya Rabaljalil
Doa Hamba Yang Sangat Zalil
Tinggikan Daulat Serta Adil
Kekal Perintah Jamalullail



Duli Yang Maha Mulia

Duli Yang Maha Mulia
Selamat Di Atas Takhta
Allah Lanjutkan Usia Tuanku
Rakyat Mohon Restu
Bawah Duli Tuanku
Bahagia Selama-lamanya
Aman Dan Sentosa
Duli Yang Maha Mulia



ALLAH SELAMATKAN SULTAN KAMI

Seni kata yang lama:
Ya Allah Yang Maha Kuasa
Lanjutkan Usia
Duli Yang Maha Mulia
Dirgahayu Darul Makmur
Aman Dan Bahagia Sentiasa
Ya Allah Selamatkan
Duli Tuanku Raja Kami
Seni kata yang baru:
Ya Allah Yang Masa Kuasa
Lanjutkan Usia
Ke bawah Duli Yang Maha Mulia
Dirgahayu Darul Makmur
Aman Dan Bahagia Sentiasa
Ya Allah Selamatkan
Ke bawah Duli Raja Kami

15 May 2009

Kes pertama influenza A(H1N1) dikesan di Malaysia

Kementerian Kesihatan menasihatkan semua penumpang penerbangan MH 091 dari Newark, USA dan tiba di KLIA pada 13 Mei 2009 jam 7.15pagi supaya menghubungi talian 03-88810200/03-88810300

Bermula 30 April 2009 pihak WHO secara rasmi menamakan wabak ini sebagai wabak influenza A(H1N1) dan bukan lagi wabak swine flu atau selesema babi. Tahap amaran wabak masih pada fasa 5.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengaktifkan Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan.

Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengaktifkan Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan bagi memantau situasi wabak Selesema A(H1N1). Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 atau email kepada cprc@moh.gov.my

PERJALANAN KE NEGARA YANG DILANDA INFLUENZA A (H1N1)
  1. Lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak perlu ditangguhkan*. Jika perjalanan tidak dapat dielak, mereka perlu berhati-hati dan mengambil langkah-langkah berikut:
  2. Ketahui kawasan wabak atau kawasan yang mengalami kes Influenza A (H1N1) yang tinggi. Elak melawat tempat-tempat yang sesak.
  3. Elak bersentuhan dengan pesakit Influenza A (H1N1). Jika anda terpaksa berhubung rapat dengan pesakit, gunakan alat perlindungan pernafasan yang sesuai.
  4. Jaga kebersihan diri sepanjang masa. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin.Cuci tangan dengan air dan sabun.
Kalau anda jatuh sakit, SEGERA dapatkan rawatan.

Jika anda baru balik dari kawasan yang dilanda Influenza A (H1N1), elak berhubung rapat dengan orang lain selama 7 hari. Kalau dalam tempoh tersebut anda demam dan menghidapi salah satu daripada gejala berikut - batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak, SEGERA dapatkan rawatan daripada doktor.

Maklum kepada doktor yang merawat bahawa anda baru pulang dari negara/kawasan yang dilanda Influenza A (H1N1).

13 May 2009

LANGKAH PENCEGAHAN JENAYAH

LANGKAH PENCEGAHAN JENAYAH RAGUT?
  1. Selalu gunakan jalan dan lorong yang ramai orang lalui. Jangan berjalan atau bersiar-siar di tempat gelap.
  2. Jika terpaksa keluar di waktu malam cuba bawa teman.
  3. Jangan memakai barang-barang kemas dengan banyak. Elakkan daripada meletak beg duit anda di dalam raga membeli-belah atau di atas kaunter.
  4. Silangkan beg tangan anda di bahu dan berjalan di sebelah kanan jalan bertentangan dengan laluan laulintas.
  5. Hendaklah berwaspada selalu, andainya anda merasai seseorang yang mencurigakan mengekori anda, hendaklah dengan segera menuju ke tempat lain.
  6. Semasa membeli-belah di tempat yang sibuk gengam beg duit dengan kuat atau sembunyi beg itu di tempat yang tidak terdedah.
  7. Berjalan di atas kaki lima kedai supaya dapat mengelakkan diri dari diragut oleh pembonceng motosikal.
  8. Jikalau membawa anak-anak kecil ke bandar, tanggalkan barang-barang kemas yang di pakai olehnya.
  9. Jangan berasak-asak apabila menaiki / turun bas, keretapi, panggung wayang atau tempat sesak supaya dapat mengelak daripada kena ragut.
  10. Bila menggunakan lif, pastikan ada orang bersama anda atau cari orang yang anda biasa. Jika ada orang mengekori anda dan anda mencurigai orang itu, keluar dari lif dengan segera.
LANGKAH PENCEGAHAN JENAYAH PENYELUK SAKU ?
  1. Jangan menyimpan beg duit dalam kocek seluar sebelah belakang semasa berbaris membeli tiket wayang bolasepak, bas atau keretapi.
  2. Semasa menaiki atau turun kenderaan awam seperti bas, teksi atau keretapi jangan berasak-asak, tunggu hingga orang lain telah menaiki atau turun.
  3. Jika anda menyimpan duit tanpa beg dalam poket baju, jangan biar duit-duit itu nampak dari luar (atau jangan pakai baju yang jarang).
  4. Jangan biarkan orang-orang yang tidak dikenali meletakkan tangannya di atas bahu kiri anda terutama sekali semasa menaiki / menuruni kenderaan awam atau semasa dalam barisan untuk sesuatu tujuan.
  5. Jangan simpan duit (wang) di satu kocek sahaja. Simpanlah dalam kocek-kocek yang berasingan.

10 May 2009

Selamat Hari IBU

PERANAN IBU MUSLIMAH

Di samping tugasnya sebagai suri rumahtangga, wanita Islam juga mempunyai peranan penting sebagai seorang ibu. Tugas keibuan dalam Islam bukanlah sekadar menjadi Isteri,mengandung, melahirkan serta mengasuh anak, kerana sifat yang sedemikian juga ada pada haiwan. Keibuan dalam Islam ialah mempunyai jiwa dan perasaan sebagai ibu yang bersifat penyayang, lemah lembut, tidak mementingkan diri sendiri, kasih terhadap anak-anak, bahkan sanggup berkorban dan bersusah payah melaksanakan kerja-kerja dalam urusan rumahtangga.

Keibuan juga bererti mengukuhkan kedudukan keluarga yang menjadi asas generasi Islam dalam lingkungan keluarga. Peranan keibuan adalah amat penting kerana ibu adalah di antara orang yang akan mencorak dan membentuk keperibadian anak-anaknya, sebagaimana maksud dalam sebuah hadis : "Tidak ada seorang yang lahir melainkan menurut fitrahnya, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seandainya ibu-ibu muslimah tidak memainkan peranan mereka yang sebenar dalam membentuk dan memberikan pendidikan terhadap anak-anak mereka, maka kesannya akan dapat dilihat sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amat malanglah ibu-ibu yang sudahlah di dunia mereka bersusah payah memelihara anak-anak mereka itu, di akhirat pula terpaksa dipertanggungjawabkan kerana kelalaian mereka memberikan pendidikan yang sempurna.

Seorang ibu yang beriman sudah tentu tidak suka jika dia hanya menjadi ibu sambilan sebagaimana yang banyak terjadi ketika ini. Kebanyakan ibu yang ada sekarang ini hanya menjadi seorang ibu apabila dia pulang dari tempat kerjanya. Sebahagian besar masanya dihabiskan menjalankan pekerjaannya dengan alasan membantu suami mengumpul wang untuk kebahagian mereka sekeluarga.

Alasan-alasan seumpama ini hanyalah helah untuk melarikan diri daripada tugas keibuan. Seolah-olah mereka menganggap tugas keibuan hanyalah bebanan dan penindasan yang dikenakan terhadap kaum yang tidak mahu lagi melahirkan anak dengan mengamalkan apa yang dinamakan perancang keluarga. Kononnya dikatakan melahirkan anak akan menganggu pekerjaan mereka. Kalaupun mereka inginkan anak, anak-anak itu dijaga dan diberi asuhan di pusat penjagaan anak-anak damit.

Para ibu perlulah mengetahui, anak-anak sebenarnya mengharapkan asuhan dan didikan yang sempurna dari seorang ibu. Ibu lebih rapat hubungannya dengan anak-anak daripada seorang bapa. Bagaimanakah asuhan dan didikan yang sempurna dapat diberikan sekiranya ibu-ibu sentiasa sibuk berperanan di luar urusan rumahtangga mereka ?

Para ibu hendaklah juga menyedari bahawa anak-anak merupakan generasi masyarakat akan datang. Kegagalan dan kelalaian para ibu dalam memberikan pendidikan yang sempurna akan menyebabkan masyarakat menjadi porak peranda.

Seorang ibu yang solehah ialah ibu yang mengasuh dan mendidik anak-anaknya dengan rasa keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan konsep kehidupan Islam.

Adalah menjadi tugas seorang ibu muslimah apabila anaknya sudah pandai bertutur, mengajarkannya ucapan syahadat dan ucapan-ucapan lain yang baik-baik yang banyak dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam di dalam hadisnya.

Demikian pula apabila anak-anak sudah berumur tujuh tahun, ibu-ibu hendaklah menggesa anak-anak mereka menunaikan sembahyang. Jika dia cuai menunaikan sembahyang . Jika dia cuai menunaikan sembahyang apabila berumur 10 tahun, maka dia boleh dipukul. Bagaimanapun mendidik anak-anak mengerjakan ibadah hendaklah disertai dengan keterangan yang jelas supaya mereka mengetahui serta memahami tujuan sebenar ibadah yang mereka laksanakan.

Adalah menjadi peranan ibu-ibu muslimah untuk menceritakan kepada anak-anak mereka tentang kehebatan perjuangan tokoh-tokoh Islam di masa lalu supaya menjadi perangsang kepada mereka untuk dicontohi. Seterusnya para ibu hendaklah sentiasa peka dan mengawasi anak-anak daripada membaca buku, majalah-majalah atau menonton filem-filem yang kurang sihat kerana ini boleh mempengaruhi jiwa dan mengakibatkan gejala yang tidak baik terhadap perkembangan peribadi anak-anak.

Di ambil terus dari : http://www.brunet.bn/gov/mufti/alhadaf/dis00/h_peranan.htm



Ulang Tahun Pertama Blog KSdR

Bermula dengan alamat kokuyosdr.blogspot.com dan sekarang berada di alamat baru iaitu www.ksdr.org.my

Hari ini genaplah setahun lahirnya Blog KSdR. Semoga terus sukses dan berjaya di tahun yang akan datang. E-mailkan pertanyaan, maklumat atau cadangan melalui enquiries@ksdr.org.my

08 May 2009

SUKARELAWAN PERTAHANAN AWAM (JPAM)

Sukarelawan Pertahanan Awam ialah orang awam yang mendaftar menjadi anggota Pertahanan Awam di mana-mana pejabat Pertahanan Awam yang sedia ada dan telah :-
  • Menamatkan kursus asas dengan jayanya dan telah memperolehi sijil
  • Diberi nombor badan/nombor keanggotaan Pertahanan Awam
  • Mempelajari ilmu Pertahanan Awam
Objektif Sukarelawan Pertahanan Awam pada dasarnya ialah :-
  • Tugas Pertahanan Awam ialah melatih orang awam dalam menghadapi bencana/operasi samada sebelum, semasa atau selepas peperangan/aman.
  • Melakukan tugas-tugas menyelamat semasa bencana/operasi menyelamat
  • Membantu tugas-tugas Pertahanan Awam yang diwujudkan pada 20 Mei 1995 yang pada ketika itu tenaga kakitangan tetap adalah kurang.
KEANGGOTAAN
  1. Syarat-syarat menjadi anggota Sukarelawan Pertahanan Awam
  2. Warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
  3. Sihat tubuh badan dan tiada kecacatan fizikal.
  4. Kelulusan akademik sekurang-kurangnya SRP/LCE/PMR.
  5. Tidak menyertai badan beruniform yang lain.
  6. Berminat menjalankan tugas secara sukarela.
FAEDAH MENYERTAI ANGGOTA SUKARELAWAN
  • Belajar bagaimana cara menyelamat di air dan cara-cara menyelam (SCUBA)
  • Peluang mendapat sijil-sijil kemahiran dan kursus yang dihadiri
  • Dapat belajar berhubung melalui Radio Set (Komunikasi)
  • Mendapat pengetahuan cara untuk menguruskan bencana
  • Belajar bagaimana cara pengendalian peralatan operasi
  • Belajar tatacara berpakaian seragam
  • Dapat belajar seni mempertahankan diri
  • Dapat belajar membaca peta dan kompas
  • Dapat belajar Asas Pertolongan Cemas
  • Dapat belajar bagaimana hendak melakukan Ascending dan Discending
  • Belajar bagaimana hendak melakukan Breathing Apparatus (BA SET)
  • Mendapat pengetahuan mengenai ikhtiar hidup
  • Dapat belajar asas kebombaan
  • Dapat belajar asas menyelamat
  • Dapat ilmu pengetahuan harian seperti medik dalam menghadapi situasi kemalangan yang berlaku
KEMUDAHAN-KEMUDAHAN
  • Mendapat rawatan percuma di Hospital Kerajaan
  • Mendapat elaun berkhidmat
  • Mendapat Uniform percuma
  • Menerima bounti (Saguhati) tahunan
  • Pegawai dan anggota dapat berkhidmat di seluruh Malaysia kerana Pejabat/Cawangan Pertahanan Awam terdapat di seluruh Malaysia
CARA MEMOHON
Permohonan boleh di buat secara on-line melalui
Sistem Pendaftaran Anggota Sukarela Pertahanan Awam (SiSPAL) yang terdapat di muka hadapan laman tersebut atau layari laman web JPAM.

INFO JPAM NEGERI SEMBILAN (SEREMBAN)
Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan mula ditubuhkan pada bulan Ogos 1968 dan beroperasi di Port Dickson. Pada masa itu pejabat Jabatan Pertahanan Awam terletak di Kg Chokra, Port Dickson berhampiran pintu pagar kereta api yang ada sekarang dan pernah seketika dulu adalah bangunan bekas klinik bidan Pejabat Kesihatan Port Dickson.

Pada tahun 1974, Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan telah berpindah ke Balai Undang Luak Sungai Ujung yang ada sekarang di Batu 2 ½ Jalan Ampangan, Seremban.

Selepas itu pada tahun 1991 Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan telah berpindah ke pejabat Jalan Zaaba yang pernah seketika dulu di gunakan oleh Pejabat Penerangan Daerah Seremban.Pada Tahun 1996, Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan telah berpindah ke tapak Sekolah St Paul Seremban.

Pada tahun 1997 Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan telah berpindah ke Bangunan Biro Tata Negara Jalan Dato Klana Maamor berhampiran dengan Makam Tuan Haji Said Seremban. Pada tahun 2003 Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan telah berpindah ke Bangunan PUSPA di KM 5,Jalan Labu, Seremban yang tersergam indah sekarang ini.

Lihat juga sejarah dan fungsi JPAM di sini