25 November 2009

Pertolongan Cemas Di Rumah


Pertolongan cemas merupakan satu aspek penting dalam sesebuah rumah tangga. Ia merujuk kepada tindakan awal atau pertama yang dilakukan dalam keadaan kecemasan. Dengan perkataan lain, ia merupakan pertolongan cemas terhadap individu tertentu yang cedera atau tidak berupaya, sementara menunggu ketibaan pegawai perubatan ataupun sebelum di hantar ke klinik atau hospital terdekat. Ia mungkin dapat membantu memperbaiki keadaan mangsa atau dapat menyelamat dan menyembuhkan kesakitan yang dialaminya. Walau bagaimanapun, pertolongan cemas tidak boleh dijadikan penggantian kepada penjagaan perubatan sebenar. Ia hanyalah merupakan suatu pertolongan yang dapat diberi sementara bantuan sebenar tiba.

ALAT PERTOLONGAN CEMAS
Alat pertolongan cemas perlu mengandungi beberapa peralatan yang penting untuk digunakan ketika kecemasan.

Ia lazimnya mengandungi :
  • Pengesat kain kasa yang steril
  • Pembalut kain kasa yang steril dan gulungan kapas
  • Plaster pelekat
  • Pembalut kenyal
  • Pembalut segi tiga
  • Termometer (Jangka suhu) klinikal
  • Gunting
  • Penyepit dengan hujung yang tajam
  • Klip atau pin keselamatan
  • Ubat sapu seperti krim antigatal, losyen antiseptik dan sebagainya
  • Ubat-ubatan untuk penyembuhan dalaman seperti antasid, ubat penghilang kesakitan, ubat melawan demam.
Terdapat pelbagai bahaya dan kecederaan yang mungkin berlaku di dalam sesebuah rumah sekiranya kita tidak berhati-hati seperti luka terbakar, gigitan dan sengatan serangga atau binatang berbisa, tercekik, kekejangan, tulang patah dan sebagainya.

LUKA TERBAKAR DAN MELECUR
Luka terbakar ialah kecederaan pada tisu yang disebabkan oleh suhu tinggi, bahan kimia atau sinaran. Melecur pula terjadi akibat pendedahan terhadap haba lembap seperti wap atau cecair panas.
  • Alihkan atau buangkan punca kecederaan tersebut
  • Tanggalkan perlahan-lahan pakaian, barang kemas, tali pinggang atau jam dari bahagian yang tercedera kecuali jika ia melekat pada kulit.
  • Sejukkan bahagian yang tercedera secepat mungkin dengan merendamkannya ke dalam air sejuk selama 10 - 15 minit.
  • Balut bahagian yang tercedera dengan longgar menggunakan pembalut steril atau kain nipis yang serupa dengannya.
  • Jangan sapukan sebarang krim, losyen, minyak, salap, mentega atau bahan lemak pada bahagian yang tercedera.
  • Jangan pecahkan lepuh yang timbul atau melakukan apa-apa di bahagian berkenaan.
  • Jangan menggunakan sebarang pembalut yang melekat atau wul kapas pada luka.
PENDARAHAN
Prinsip asas pengawalan pendarahan ialah menghadkan pengaliran darah ke bahagian yang luka dengan meninggikan bahagian tersebut dan memberi tekanan ke bahagian yang terlibat.
  • Tekankan semampatnya kain pembalut yang bersih dan yang boleh menyerap pada luka untuk selama 20 minit. Jika terdapat serpihan benda asing dalam luka, tekan di bahagian kelilingnya.
  • Jika tiada tulang yang patah, retak atau terkehel, tinggikan bahagian tersebut sementara mengekalkan tekanan untuk mengurangkan pendarahan.
  • Jika pendarahan berterusan, tekan arteri yang berdekatan dengan bahagian luka.
  • Cuci bahagian sekeliling luka dengan air sejuk selama 10 - 15 minit dan lapkannya di bahagian tepi luka menggunakan pad atau kasa yang bersih. Pendarahan dari sesetengah luka kecil akan terhenti jika dibasuh dan dibalut dengan kemas.
  • Tutup atau balut luka tersebut dengan segera.
  • Bungkus mana-mana bahagian yang terputus dalam beg khas dan seboleh-bolehnya masukkannya ke dalam ais.
  • Suntikan tetanus mungkin perlu diberi kepada mangsa.
  • Jika hidung berdarah, picitkan hidung di bahagian bawah tulang hidung untuk selama 5 minit. Pastikan kepala sentiasa terdongak.
  • Jangan berikan sebarang makanan atau minuman.
  • Jangan sentuh atau menarik keluar objek atau benda asing yang menusuk luka kerana dikhuatiri akan menyebabkan pendarahan bila dikeluarkan.
GIGITAN DAN SENGATAN
Tanda-tanda dan gejala yang mungkin dilihat ialah bekas gigitan, bengkak dan kesan kemerahan, sakit di bahagian yang terlibat, loya dan muntah, kesukaran bernafas dan menelan, reaksi alahan seperti renjatan dan sebagainya.
  • Cuci bahagian yang tercedera dengan air suam dan sabun, atau bahan antiseptik yang lembut.
  • Keringkan bahagian berkenaan dengan cermat dengan mengelapkannya bermula dari bahagian luka dan ke luar.
  • Jika perlu sapukan losyen Calamine untuk menghilangkan rasa gatal. Tutupkan luka berkenaan dengan pembalut yang bersih dan letakkan plaster.
  • Tuamkan dengan ais untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak.
  • Untuk gigitan berbisa, jangan sekali-kali mencuci, memotong atau menghisap bisa dari bahagian gigitan. Sebaliknya, cuba kurangkan pengaliran darah ke bahagian tersebut.
  • Elakkan dari memicit kantung racun kerana ini akan menyebarkan racun berkenaan ke bahagian lain dalam badan.
CEKIKAN
Cekikan berlaku apabila saluran udara tersekat sepenuhnya atau sebahagian sahaja disebabkan tertelan sesuatu objek atau benda. Mangsa biasanya tidak dapat bercakap, batuk atau bernafas. Tujuan utama rawatan adalah untuk melapangkan saluran udara yang tersekat.

  • Minta mangsa batuk dengan kuat untuk mengeluarkan objek yang tersekat.
  • Jika objek berkenaan dapat dilihat dan mungkin boleh dikeluarkan, cuba keluarkannya dengan menggunakan jari yang bersih.
  • Jika mangsa tidak dapat bercakap, batuk atau bernafas, cuba gunakan teknik tepukan belakang. Tepuk belakang mangsa menggunakan tapak tangan dengan 3 atau 4 tepukan yang padu di bahagian antara tulang kipas mangsa.
  • Jika mangsa merupakan kanak-kanak kecil, tonggengkannya semasa memberi tepukan.
  • Untuk kanak-kanak yang lebih dewasa, semasa memberikan tepukan, sokongkan kepalanya dengan peha dan biarkan mukanya tertunduk ke bawah.
  • Lonjakan abdomen merupakan satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk merawat cekikan. Berdiri di belakang mangsa dan peluk pinggangnya
  • Letakkan bahagian ibu jari genggaman tangan anda di tengah-tengah abdomen mangsa.
  • Dengan tangan yang sebelah lagi memegang genggaman tersebut, tekannya ke dalam dan luar abdomen dengan cepat dan mampat.
  • Untuk mangsa yang tidak sedarkan diri, palingkan mukanya ke atas, duduk melutut dengan mangsa di tengah-tengah dan letakkan pangkal genggaman tangan anda di tengah abdomen dan atas sedikit dari pusat.
  • Tekan genggaman tangan tersebut dengan tangan yang sebelah lagi secara naik turun menghala ke kepala mangsa.
  • Beri mangsa menyedut air perlahan-lahan selepas halangan tersebut dikeluarkan.
  • Jangan gunakan lonjakan abdomen ini pada mangsa yang hamil atau mempunyai berat badan yang berlebihan.
CEKIKAN KERACUNAN
Racun ialah sebarang bahan yang boleh menyebabkan kerosakan jika memasuki ke dalam tubuh. Racun boleh ditelan, disedut, disuntik atau diserap melalui kulit. Hubungi Khidmat Maklumat Racun (Tel: 04-6570099) dan beritahu mereka jenis racun, jumlah dan bila racun berkenaan diambil.

  • Jika mangsa tidak bernafas, berikannya bantuan pernafasan dengan melakukan mampatan dada. Resusitasi (teknik A.B.C) perlu dilakukan sekiranya mangsa masih bernafas, tetapi denyutan jantungnya telah berhenti.
  • Jika mangsa tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas, baringkannya mengiring dalam kedudukan pemulihan.
  • Untuk racun yang disedut, alihkan mangsa dari bahaya ke kawasan yang berudara segar.
  • Untuk racun yang diserap, basuh semua sisa-sisa kimia yang tertinggal pada kulit.
  • Untuk racun yang ditelan, jangan cuba mencetuskan muntah kerana ini mungkin membahayakan lagi keadaan pesakit.
TERKENA ARUS ELEKTRIK

PENGSAN
Pengsan ialah keadaan tidak sedarkan diri untuk seketika berpunca dari pengurangan pengaliran darah ke otak yang sementara.
  • Jika mangsa telah pengsan tetapi masih bernafas seperti biasa, baringkannya dengan kaki ditinggikan sedikit dari paras kepala.
  • Longgarkan pakaian mangsa di bahagian leher, dada dan pinggang untuk memudahkan pernafasan.
  • Mangsa patut terus berbaring untuk beberapa minit selepas pulih.


10 November 2009

Sepak Bulu Ayam

Sempena Aktiviti KSdR bagi bulan November

Permainan ini dikenali juga sebagai sepak bulu ayam, sebuyam atau chapteh. Dimainkan di luar rumah oleh kanak-kanak lelaki seramai dua atau lebih.

Permainan sepak bulu ayam terkenal sejak dahulu kala. Dapat dibanggakan, permainan ini sampai kini masih menjadi pilihan untuk beriadah dan mengisi waktu lapang.

Biasanya kanak-kanak lelakilah yang suka benar dengan permainan ini. Lebih menarik kerana permainan ini sesuai dimainkan bila-bila masa sahaja. Biasanya waktu petanglah yang sesuai untuk bermain.

Dari segi pemilihan tempat pula, seelok-eloknya biarlah kawasan lapang agar pergerakan pemain tidak terbatas. Jika terdapat ramai yang bermain, kumpulan dengan terdiri beberapa orang boleh dibentuk.

Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga, tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti sejambak bunga. Permainan ini juga lebih menekankan kemahiran menimbang bulu ayam dengan kaki. Memandangkan permainan ini merupakan perlumbaan mengutip mata, pemain akan menimbang bulu ayam sekerap yang mungkin tanpa menjatuhkannya ke tanah. Semakin tinggi jumlah timbangan, semakin terserlahlah kemahiran si pemain. Jadi, si pemain mesti pantas pergerakkan kakinya. Barangkali atas faktor inilah maka kaum perempuan tidak menggemari permainan ini.

Membuat Bola
Berkenaan bulu ayam yang digunakan, bentuknya sekali imbas hampir menyerupai bulu tangkis yang ada sekarang ini. Penyediaannya tidak terlalu rumit atau memakan masa yang panjang. Tidak juga membebankan dari segi modal. Malah boleh dikatakan sesiapa juga yang ingin bermain mampu membuatnya sendiri.

Ada yang perlu ada 3, 4 atau 5 helai bulu ayam yang keras dan sederhana besarnya diikat pada sekeping getah tebal. Boleh juga gunakan getah tiub tayar. Getah itu terlebih dahulu dipotong bulat dengan ukuran garis pusatnya kira-kira 4 cm.

Getah itu digamkan berlapis-lapis supaya tebal. Kemudian sebatang paku pendek di cucuk di tengah-tengahnya. Paku itu berfungsi sebagai pemberat dan sebagai tempat untuk mengikat pangkal bulu-bulu ayam. Maka siaplah bulu ayam untuk dimainkan.

Cara Bermain
Sebelum permainan dimulakan undian perlu dijalankan terlebih dahulu bagi menentukan giliran. Undian secara 'lat-tali-lat-laili-tam-plong' untuk semua pemain bagi menentukan siapa yang perlu memulakan terlebih dahulu mengikut gilirannya. Penentuan mata samada jumlah timbangan terbanyak atau penetapan jumlah mata tertentu juga harus dipersetujui terlebih dahulu.

Pemain disyaratkan menimbang bola bulu ayam tersebut dengan menggunakan tepi tumit kaki (tepi kaki sebelah dalam) sahaja atau juga dengan lutut. Sepakan tidak dibenarkan, jika dilakukan oleh pemain, ia dikira mati dan giliran pemain seterusnya mengambil alih pula. Permainan juga dikira mati sekiranya bola jatuh ke tanah.

Mata dikira dengan cara, pemain mestilah menimbang bola tanpa henti atau mati dengan seberapa banyak timbangan yang dapat dilakukan. Pemain yang mendapat mata terendah jumlah timbangan dikira kalah, dan ia akan dikenakan denda. Pemain yang kalah dikehendaki melambungkan bola kepada pemenang, dan pemenang pula mestilah menimbang bola sebanyak tiga kali, sekiranya pemenang gagal berbuat demikian maka denda terhadap pemain yang kalah akan dikira tamat.

Pusingan seterusnya boleh dilakukan beberapa kali, pemain yang memenangi di setiap pusingan atau jumlah kemenangan banyak kali dan melebihi dari yang lainnya dikira juara.


03 November 2009

Rakan Alam Sekitar

MATLAMAT UTAMA IALAH MENJADIKAN ORANG RAMAI SEBAGAI MATA DAN TELINGA JABATAN DALAM MEMBENTERAS MASALAH ALAM SEKITAR BERKONSEPKAN "COMMUNITY BASE" DAN "HAND ON". DISAMPING ITU JUGA MEMBERI KESEDARAN KEPADA ORANG RAMAI BETAPA PENTINGNYA MENJAGA ALAM SEKITAR INI TAK KIRA AGAMA BANGSA KETURUNAN TUA ATAU MUDA TIDAK KIRA LELAKI ATAU PEREMPUAN. PERJUANGKAN ALAM SEKITAR KITA UNTUK GENERASI AKAN DATANG.





BAHAWA KAMI
AHLI RAKAN ALAM SEKITAR
MEMBUAT IKRAR DI SINI
AKAN MENJALANKAN
TUGAS-TUGAS SUKARELAWAN INI
DENGAN SEPENUH HATI

KE ARAH INI KAMI AKAN:-

MENJADI MATA DAN TELINGA
KEPADA AGENSI-AGENSI KERAJAAN YANG BERTANGGUNGJAWAB
DALAM MEMBENTERAS KEGIATAN-KEGIATAN
YANG MEROSAKKAN ATAU MENCEMARKAN ALAM SEKITAR

KAMI JUGA AKAN MENJADI PENGGERAK UTAMA
KEPADA PROGRAM-PROGRAM SERTA KEMPEN-KEMPEN
KESEDARAN ALAM SEKITAR DI KAWASAN KAMI
UNTUK MEMBERIKAN KESEDARAN ALAM SEKITAR
KEPADA SEMUA LAPISAN MASYARAKAT
UNTUK BERTINDAK DAN MENGAMBIL BAHAGIAN
MENJAGA ALAM SEKITAR
YANG KITA KONGSI BERSAMA INI

SEMOGA TUHAN MEMBERKATI USAHA INI.


01 November 2009

Pendeta Za'ba

Pendita Za'ba berjuang dengan menggunakan penanya dan memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu. PENDITA Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad tidak pernah mengenal erti berputus asa dan pernah berjuang untuk meninggikan martabat Bahasa Melayu suatu masa dahulu.

Semasa mengajar di Kolej Latihan Sultan Idris, beliau berusaha untuk menyerapkan syarat-syarat aturan tatabahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam buku-buku teks sekolah dan bahan-bahan bacaan umum dalam Bahasa Melayu.

HASIL KARYA ZA'BA
Artikel pertamanya yang berjudul “Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling” diterbitkan sebanyak dua kali dalam akhbar Utusan Malaya. Buku pertamanya yang bertajuk Umbi Kemajuan, merupakan menulisan semula karangan rencana keugamaan yang diterbitkan pada tahun 1932.

Za’ba mula menulis secara aktif semasa beliau menjadi guru sementara di Johor Bahru pada tahun 1916.Bakat Pendita Za’ba terserlah kerana beliau menyentuh mengenai aspek-aspek bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan dan politik dalam hasil karyanya. Karyawan yang disegani ini pernah mengarang cerpen, novel dan buku-buku rujukan tatabahasa dalam Bahasa Melayu.

Antara hasil karyanya ialah Journalism in Malaya yang diterbitkan pada tahun 1947, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Pelita Bahasa Melayu I, Pelita Bahasa Melayu II dan Pelita Bahasa Melayu III (1958). Seorang penulis yang bernama Dharma Wijaya menggambarkan Pendita Za’ba sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu yang sentiasa ditunjangi oleh ketabahan, kecekalan dan keyakinan.

“Perjuangan Za’ba lebih menjurus kepada kegiatan keilmuan khususnya dalam pendidikan, penyelidikan dan penulisan,” ujar Dharma Wijaya dalam satu teks ucapan.

LATAR BELAKANG
Za’ba dilahirkan pada tahun 1895 di sebuah kampung terpencil yang terletak dekat Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan. Beliau berasal dari sebuah keluarga yang kuat beragama, oleh itu tidak hairanlah penulis ini telah belajar berkhatam Al-Quran, menghafal Surah Yassin dan berzanji ketika usianya mencecah tujuh tahun.

Pendita pujaan ramai ini hanya menjejakkan kakinya ke sekolah pada usia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir. Dan kemudiaannya, bertukar ke Sekolah Melayu Linggi untuk mendalami ilmu pengajian Arab dan Islam lanjut. Penulis ulung ini merupakan pelajar Melayu pertama dari Negeri Sembilan yang menghabiskan zaman persekolahannya (Senior Cambridge) dari darjah satu hingga darjah enam dalam jangka masa enam tahun.

Pada tahun 1917, Za’ba melangkah ke alam perkhawinan dan mempunyai seorang anak perempuan. Namun, ianya tidak kekal lama. Karyawan ini kemudiannya berkhawin sekali lagi dengan Fatimah Umar dan menjaga anak perempuannya itu.

USAHA MENENTANG PENJAJAH
Za’ba, merupakan seorang pejuang tanah air yang berani mengetengahkan aspek kemunduran masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan British melalui hasil karyanya. Tindakannya itu pernah mengundang kesangsian pihak British yang pernah mengehadkan hasil karyanya.
Penulis agung ini suka bergiat aktif dalam perkhimatan masyarakat. Beliau menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya pada tahun 1937.

Pada tahun 1946, pendita ini dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi Jawatankuasa Penggubal Rang Piagam UMNO di kongres menentang pembentukan Malayan Union. Beliau keluar dari dunia politik selepas Piagam Umno diterima dan diluluskan.

PERJALANAN KARIER
Untuk menghargai jasa beliau, Zaaba telah dianugerahkan:

* 1956: Gelaran Pendeta di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
* 1959: Ijazah Kehormat dan Persuratan dari Universiti Malaya
* 1973: Ijazah Kehormat dan Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia
* 1962: Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri

Za’ba pernah berkhimat sebagai seorang guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1918. Kerjayanya sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London bermula pada tahun 1947. Kemudiannya, Za’ba bersara dari perkhimatan kerajaan ketika berumur 55 tahun.

Penulis ulung ini dilantik sebagai pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu (Malay Study Department (JPM)) di Universiti Malaya, Singapore pada tahun 1953. Dengan bantuan Ungku Aziz, Za’ba menjadi pengasas pembentukan pertubuhan bahasa pelajar dan dua tahun berikutnya, membentuk Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya.

Karyawan yang menjadi tulang belakang penggunaan Bahasa Melayu yang kita gunakan kini, menerima gelaran Pendeta secara rasmi pada tahun 1956. Za’ba atau nama sebenarnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad meninggal pada 23 Oktober 1973 pada usia 78 tahun.