Antara faktor penting yang perlu dipertimbangkan apabila ingin memulakan perniagaan adalah :-
- Modal
- Lokasi perniagaan
- Jenis dan saiz perniagaan
- Persaingan
- Undang-undang dan peraturan
- Sumber bekalan
- dan sebagainya
Modal
Usahawan mestilah mempunyai modal yang cukup untuk memulakan dan menjalankan perniagaan.
Jumlah modal yang diperlukan bergantung kepada saiz dan jenis perniagaan, lokasi perniagaan, dan jumlah kredit yang hendak diberikan kepada para pelanggan.
Modal boleh datang daripada simpanan sendiri atau pinjaman. Bagi mendapatkan pinjaman bank, satu kertas kerja perlu disediakan untuk meyakinkan pihak bank tentang kemampuan membayar balik pinjaman.
Lokasi
Usahawan mesti bijak memilih lokasi yang strategik atau sesuai bagi menjamin kejayaan perniagaan. Perniagaan harus diletakkan di tempat yang mempunyai daya kuasa beli yang tinggi dan kurang persaingan.
Pemilihan lokasi juga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti modal, kos sewa, persaingan, kemudahan infrastruktur, undang-undang dan lain-lain.
Minat, pengetahuan dan pengalaman
Usahawan mesti mempunyai minat dalam perniagaan. Minat itu mestilah berkekalan dan bukan sekadar sementara waktu sahaja. Jika tidak, perniagaannya susah untuk dijalankan.
Usahawan juga perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan yang akan diceburinya. Contohnya, jika dia hendak membuka kedai pakaian, dia mesti tahu dari mana untuk mendapatkan stok pakaian itu.
Usahawan juga harus memperoleh pengetahuan dan pengalaman mengenai selok-belok pengurusan, mengurus wang, stok, masa, melayan pelanggan, menyimpan rekod dan akaun- serta lain-lain lagi.
Pengalaman boleh diperoleh dengan cara bekerja, sebagai pembantu dalam bidang perniagaan yang berkenaan.
Pengetahuan boleh diperoleh dengan belajar di sekolah, maktab atau universiti, membaca buku-buku yang berkenaan, mengikut kursus perniagaan, bertanya, berbincang dan memerhati peniaga-peniaga lain menjalankan perniagaan mereka.
Jenis dan saiz perniagaan
Usahawan mesti menentukan jenis dan saiz perniagaan yang hendak dijalankan. Jenis perniagaan hendaklah bersesuaian dengan kebolehan, pengetahuan dan pengalamannya.
Saiz perniagaan hendaklah juga bersesuaian dengan modal yang ada, kebolehan, pengalaman dan pengetahuan untuk mengawal dan mengurus perniagaan itu. Saiz perniagaan yang kecil mudah dimulakan serta diurus. Perniagaan secara besar-besaran memerlukan modal yang besar dan tidak begitu mudah dikendalikan.
Persaingan
Usahawan juga mesti memikirkan tentang persaingan yang akan dihadapinya. Kajian perlu dibuat untuk mengenal pasti pesaing-pesaing, bilangannya, saiz perniagaan mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan sambutan para pelanggan terhadap perniagaan mereka.
Membuka perniagaan di tempat yang banyak mempunyai persaingan tentu tidak akan dapat menarik ramai pelanggan pada mulanya. Tetapi jika usahawan dapat memberi layanan yang lebih baik, pelbagai pilihan barang, harga yang berpatutan dan perkhidmatan selepas jualan yang memuaskan banyak pelanggan akan tertarik untuk kekedainya.
Bagaimanapun usahawan perlu mengadakan rancangan dan ikhtiar yang rapi dan bernas untuk mengatasi para pesaing.
Undang-undang dan peraturan
Usahawan mesti mengetahui undang-undang, peraturan-peraturan serta akta-akta yang mengawal perjalanan perniagaan dalam negara kita agar tidak melanggar undang-undang, peraturan, atau akta yang boleh menghalang perjalanan perniagaan.
Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Tempatan, Majlis Bandaran atau Dewan Bandar Raya telah menetapkan jenis-jenis perniagaan yang boleh dijalankan di kawasan-kawasan tertentu serta jenis lesen yang diperlukan. Usahawan mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Di samping itu, semua perniagaan mesti didaftarkan dengan pihak-pihak tertentu kecuali penjaja bergerai yanng hanya perlu mendapatkan lesen menjaja daripada pihak berkuasa tempatan.
Usahawan juga mesti mematuhi berbagi-bagai akta seperti Akta Perihal Dagangan, Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan dan lain-lain.
Sumber bekalan
Usahawan perlu mengetahui tempat-tempat di mana ia mendapat bekalan barang-barang dengan seberapa murah dan mudah. Usahawan harus tahu pembekal mana yang dapat menawarkan diskaun dan kredit yang lebih baik.
Part-Time
Namun begitu sebelum memulakan langkah untuk berniaga walaupun secara separuh masa (part time), ada beberapa perkara yang perlu dirancang seperti :
- Perlu memberi penjelasan kepada keluarga tentang niat memulakan perniagaan. Perubahan tentang cara hidup perlu dibincangkan bersama. Mintalah sokongan dan bantuan dari mereka, ini akan lebih memudahkan perjalanan perniagaan nanti.
- Perlu diingatkan berniaga itu susah sebenarnya walaupun sekecil mana pun ia. Bagi mereka yang tidak ada sebarang pengalaman mereka perlu bersedia untuk melalui dugaan dan cabaran yang bukan sedikit. Semuanya perlu di tanggung sendirian tidak seperti di syarikat tempat bekerja di mana tanggungjawab terhad kepada skop jawatan sahaja.
- Jika kita merasakan perniagaan ‘part time’ yang di lakukan berjalan dengan perlahan, itu tidak mengapa, kita tidak boleh membandingkan perniagaan anda setaraf dengan perniagaan yang dijalankan 24 jam. Namun, itu tidak bermakna yang anda tidak boleh mencapai sasaran seperti perniagaan yang lain. Cuma perlu mempunyai strategi yang lebih bijak dan efektif.
- Walaupun seorang usahawan ‘part time’ tetapi anda mesti ingat yang anda masih bekerja dengan orang lain. Jangan campurkan urusan perniagaan dengan urusan kerja dan jangan jadikan pembabitan kita ke dalam dunia perniagaan menjatuhkan kualiti dan komitmen di tempat kerja. Elak menggunakan masa dan peralatan syarikat untuk urusan perniagaan. Kewajipan terhadap tugasan dan tanggungjawab di syarikat tersebut harus dilaksanakan sebaik mungkin.







